Drama Bersiri Terbaharu Di HYPPTV ‘Syurgaku Tak Sempurna’ Kini Di Saluran HYPPSENSASI.

Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTV yang pernah memenangi anugerah, HyppTV dan DarkWave Pictures Sdn Bhd meneruskan kerjasama antara kedua-dua pihak dengan penghasilan sebuah drama bersiri terbaharu, ‘Syurgaku Tak Sempurna’, ditayangkan buat pertama kali dan secara eksklusif di HyppSensasi, HyppTV Saluran 116. Drama bersiri yang dinanti-nantikan, arahan Michael Ang akan bersiaran selama 30 episod bermula 16 Januari 2017, setiap hari Isnin dan Selasa pada jam 9.00 malam. Drama bersiri ini menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Shah Iskandar, Uqasha Senrose, Raja Ilya, Aedy Ashraff dan ramai lagi.

Mengulas mengenai drama terbaharu ini, Jeremy Kung, Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM berkata, “Ini merupakan drama bersiri pertama yang diterbitkan untuk HyppSensasi HD untuk tahun 2017, saluran gaya hidup dan hiburan tempatan milik HyppTV. Setakat ini, sejumlah 19 buah drama bersiri tempatan telah diterbitkan secara eksklusifnya, dan kami amat teruja dengan sambutan memberangsangkan yang kami terima. Ini memberi peluang kepada kami untuk terus membuat pelaburan bagi menerbitkan lebih banyak kandungan tempatan berkualiti tinggi selain dapat mengukuhkan lagi kerjasama kami bersama produksi-produksi dan bakat-bakat tempatan yang ada. Malah, beberapa drama terbitan kami mendapat perhatian daripada industri hiburan tempatan apabila turut dicalonkan dalam beberapa kategori di majlis ‘Anugerah Skrin 2016’. Sokongan padu yang diterima daripada pihak industri hiburan tempatan dan pelanggan setia kami pastinya menjadi pendorong untuk kami terus membawakan lebih banyak kandungan bertaraf antarabangsa dan tempatan yang terbaik khusus buat para pelanggan kami.”

“Sebagai perkhidmatan IPTV yang amat mementingkan kualiti kandungan produksi yang dihasilkan, komitmen padu kami dalam menerbitkan kandungan baharu dan eksklusif telah membuktikan sokongan kami untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri hiburan tempatan dan usaha berterusan kami untuk memenuhi kehendak penonton HyppTV yang semakin bertambah jumlahnya, terutama sekali pelanggan yang melanggan saluran tempatan kami seperti HyppSensasi,” tambah beliau.
‘Syurgaku Tak Sempurna’, merupakan sebuah drama bersiri menampilkan plot cerita yang agak rumit dan mengisahkan tentang dua orang rakan baik yang lahir dari keluarga berada, Tengku Zarif (Shah Iskandar) dan Fariena (Uqasha Senrose) yang membesar mengikut haluan masing-masing apabila Zarif membuat keputusan untuk mengahwini seorang gadis kampung bernama Zalia (Raja Ilya). Perkahwinan bahagia mereka dilanda satu tragedi apabila mereka telah kehilangan anak mereka dalam satu kemalangan dan mengakibatkan Zalia mengalami tekanan perasaan. Keadaan menjadi semakin sukar apabila Zalia mendapati akibat daripada kemalangan tersebut, dia tidak boleh mempunyai zuriat lagi.

Ibu Tengku Zarif, Tengku Zaharah (Didie Alias) meminta anaknya mengahwini rakan sepermainannya, Fariena yang akhirnya dapat melahirkan seorang anak lelaki untuk Zarif. Kekecewaan Zalia telah membuatkannya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Yogyakarta untuk meredakan kesengsaraan dan merancang untuk mendapatkan Zarif kembali. Dengan cara yang amat kejam, Zalia telah merancang satu kemalangan yang menyebabkan Fariena lumpuh. Akhirnya, Zalia dapat kembali kepada lelaki yang dia sayangi. Namun akhirnya, kebahagiaan yang dicari tidak berkekalan apabila plot drama ini ditambah dengan beberapa konflik, pengkhianatan dan rasuah.

Penulis skrip Ayuni Zamani menggunakan dialog-dialog masa kini yang amat bersahaja dan menarik. Plot yang merumitkan ini akan membuatkan para penonton ternanti-nanti berikutan lebih banyak tragedi mengenai kisah cinta tiga segi ini dalam setiap episod.

Beberapa buah episod drama ini menjalani pengembaraan di Yogyakarta dan menampilkan beberapa orang artis terkenal serta sinematografi yang menarik. Peminat Cakra Khan pula seharusnya menonton drama ini kerana lagu ‘Mencari Cinta Sejati’ nyanyian beliau telah dipilih sebagai lagu tema bagi drama bersiri ini.

‘Syurgaku Tak Sempurna’ merupakan drama bersiri ke 19 yang diterbitkan secara eksklusif untuk HyppTV. Siri drama terbaharu ini telah membuka tirai tahun 2017, eksklusif untuk HyppSensasi HD, Saluran 116.

Shah Iskandar, yang telah memenangi anugerah ‘Pelakon TV Lelaki Paling Popular’ sebanyak dua kali di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) iaitu pada tahun 2013 dan 2014 memainkan watak sebagai Tengku Zarif sementara Uqasha Senrose, seorang pelakon yang semakin mendapat perhatian pada tahun 2016 memegang watak sebagai Fariena dan Raja Ilya sebagai Zalia, isteri pertama Zarif. ‘Syurgaku Tak Sempurna’ dijangka akan menjadi satu lagi drama popular di HyppSensasi HD.

Bermula 16 Januari 2017, peminat barisan pelakon drama ini dan orang ramai boleh menonton ‘Syurgaku Tak Sempurna’ di skrin besar di rumah mereka, atau di mana-mana sahaja menerusi aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store dan hanya memerlukan pendaftaran mudah melalui nombor telefon bimbit atau menerusi daftar masuk akaun Facebook.

Baru-baru ini, HyppTV turut mendapat beberapa pencalonan bagi drama sirinya di ‘Anugerah Skrin 2016’. Drama bersiri ‘Si Montel’ dan ‘Jom Kahwin’ telah dicalonkan dalam kategori ‘Drama Siri Komedi Terbaik’. Drama bersiri ‘Sesal Separuh Nyawa’ dan ‘Maria Terindah’ pula mendapat pencalonan dalam kategori ‘Drama Bersiri Terbaik’ sementara ‘Selamat Hari Jadi Abah’ turut dicalonkan dalam kategori ‘Drama Terbaik’.

HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya sebanyak 110 saluran dengan 53 saluran dalam Definisi Tinggi (HD) – yang terdiri daripada 49 saluran premium, 26 saluran percuma, 4 saluran Radio, 9 saluran Video-On-Demand dan 22 saluran interaktif dalam pelbagai pakej nilai dan pilihan secara ala-carte. Pelanggan HyppTV juga boleh menikmati dunia hiburan yang telah dihimpunkan melalui HyppTV Everywhere atau Hypp Play, saluran Video-On-Demand yang menawarkan pelbagi siri kandungan di HyppTV bagi tontonan yang menyeronokkan.

Powered by WordPress | Designed by: Image Hosting | Thanks to MegaUpload Search, RapidShare Search and Internet TV